Saturday, March 27, 2010

Siapa Khalayak Filem Kita?

Siapa Khalayak Filem Kita?
Oleh Ku Seman Ku Hussain

DI Kuala Lumpur kini terdapat beberapa premis yang memberi peluang kepada peminat-peminat filem untuk menonton filem yang berada di luar arus perdana. Filem-filem ini didatangkan dari luar Hollywood yang telah sekian lama mendominasi minat, pemikiran dan pasaran filem di dunia.

Antara premis yang menjadi tumpuan di Kuala Lumpur ialah Institut Asia Eropah di Universiti Malaya, Sobranie Classic, International Screen di cinepleks GSC Midvalley dan Kelab Seni Filem Malaysia. Filem yang ditayangkan secara percuma atau berbayar di premis berkenaan tidak ditayangkan di pawagam biasa.

Peminat-peminat yang memilih untuk menonton di premis berkenaan selalunya berpeluang menyaksikan filem yang terbaik dari seluruh dunia. Tetapi filem-filem ini tidak berada dalam senarai tayangan di pawagam popular kerana dikatakan tidak mendapat sambutan.

Kenapa filem-filem yang hebat dari seluruh dunia tidak mendapat sambutan di pawagam popular? Adakah ini kesan dominasi pemikiran oleh Hollywood atau tidak ada usaha untuk membina khalayak filem yang sewajarnya?

Melihat kesabaran yang luar biasa pemilik rangkaian pawagam GSC di Midvalley yang terus-menerus sejak dua tahun lalu menayangkan filem yang dikelaskan sebagai ``tidak popular'', ini ada kenamengena tidak ada usaha membangunkan khalayak filem di negara ini. Orang filem yang berjaya menerbitkan filem sebenarnya jarang bertanya kenapa filem-filem seperti arahan pengarah hebat tempatan tidak mendapat sambutan? Mereka juga jarang bertanya kenapa filem lakonan Senario atau lawak Mami Jarum misalnya dengan mudah memikat perhatian?

Ada beberapa sebab yang menyumbangkan kepada ketandusan sambutan terhadap filem-filem hebat di negara ini. Pertama kerana khalayak tidak diasuh supaya meminati filem-filem yang bermutu sebagai sebuah karya yang baik.

Kedua disebabkan sebahagian besar orang yang mendakwa penerbit di negara ini sebagai pelabur tetapi bukan film maker yang mempunyai falsafah kenapa mereka menerbitkan filem.

Berbalik kepada faktor tidak ada usaha membangunkan khalayak filem, maka yang ada hanyalah peminat yang minat mereka diasuh oleh filem-filem pop yang dibuat kerana perniagaan semata-mata. Mereka tentunya tidak boleh disalahkan kalau lebih berminat menonton filem Senario The Movie arahan Aziz M. Osman berbanding filem Jogho atau Perempuan Isteri dan... arahan U-Wei.

Ini kerana tidak ada usaha untuk membentuk khalayak filem menonton filem-filem genre berat seperti Jogho. Usaha membentuk khalayak perlu berterusan dan tentunya memakan masa yang panjang. Tetapi apabila kita mula membina khalayak untuk filem-filem pop dan menolak filem-filem yang membawa makna yang lebih besar, maka tertimbuslah karya yang baik di sebalik karya buruk.

Kenapa filem seperti Embun arahan Erma Fatima tidak mendapat sambutan yang hangat seperti Mami Jarum? Terlalu tidak bermutu sangatkah filem Embun hingga penonton sedikit pun tidak merasai penat lelah melahirkan karya filem ini? Atau terlalu bermutukah Mami Jarum atau Senario The Movie hingga mencatatkan kutipan bertaraf box office (taraf Malaysia)?

Adakah penonton filem tempatan terlalu arif tentang mutu lakon layar, cerita dan lakonan hingga mereka menolak filem Kaki Bakar misalnya berbanding filem Gerak Khas The Movie? Kegagalan di pawagam ternyata bukan semuanya disebabkan filem tetapi tidak ada khalayak yang mampu menghayati filem sebagai sebuah karya.

Penonton tempatan memberi sambutan kepada filem Senario The Movie kerana filem ini telah mencipta khalayak menerusi siri tv iaitu sitcom Senario. Khalayak untuk filem ini terbina dengan jayanya dan siapa saja yang mengarah filem yang memasukkan kumpulan Senario akan membawa filem itu sebagai filem box office.

Kalau module yang sama dilakukan untuk membawa filem yang bukan pop tadi ke dalam khalayak, tentu kita akan mempunyai penonton yang boleh juga menghayati filem-filem seperti Jogho atau Embun. Tentunya kita tidak percaya sesebuah filem yang ditolak oleh penonton itu sebagai filem yang buruk.

Pada masa yang sama kita juga tentu berfikiran waras tidak membuat ukuran bahawa filem yang berjaya membuat kutipan tiket yang banyak sebagai karya yang bermutu. Tetapi kenapa filem murahan terus mengulangi kejayaan di pawagam? Jawapannya tentunya filem jenis ini telah sekian lama membina khalayaknya dan ini dibuktikan oleh kecenderungan penerbit yang mengikut arus semasa.

Alangkah baiknya kalau pihak stesen tv misalnya RTM mengambil inisiatif menayangkan filem-filem yang diistilahkan sebagai tidak popular pada waktu perdana. Stesen tv swasta tidak mungkin melakukan perkara ini kecuali Astro menerusi Astro Ria dan Prima yang menyiarkan filem-filem terbaik dari Asia.

Tetapi RTM yang diwujudkan untuk membina tamadun manusia termasuk menghayati seni yang bermutu wajar membina khalayak filem yang tidak popular tadi. Jangan tanya hasilnya dalam sekelip mata atau hujung bulan meneliti ra-ting tontonan yang selalu menjadi ukuran. Jangan.

Kalau RTM menayangkan sebuah filem seminggu yang bukan sekelas dengan Senario The Movie, dalam setahun bermakna RTM telah membawa 52 filem kepada khalayak. Proses ini perlu berterusan dan yang penting stesen tv jangan mengikut telunjuk pengiklan dan menentukan hala tuju pembinaan tamadun manusia.

Di beberapa negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam misalnya telah lama menjalankan usaha membina khalayak yang mampu menghayati seni filem. Mereka juga mendepani cabaran pada peringkat awal tetapi usaha yang berterusan telah mendekatkan filem bukan pop kepada arus perdana.

Apabila ada khalayak, maka bolehlah filem-filem jenis yang ``ditakuti'' oleh penerbit dapat diterbitkan. Sebuah filem Singapura, Money Not Enough bukan sekelas dengan Mami Jarum. Maknanya persoalan dan falsafah ``filem Singapura'' jauh lebih terserlah tetapi mendapat sambutan yang luar biasa. Difahamkan filem Money Not Enough mengatasi kutipan filem Titanic di Singapura.

Kenapa di Singapura boleh tetapi di sini tidak? Ini kerana program pembangunan khalayak perfileman lebih awal bermula daripada kegiatan membuat filem.

Di Indonesia pula gerakan membina khalayak untuk filem tidak popular ini telah lama bermula. Sekalipun banyak yang menganggap industri filem Indonesia hampir mati, sebenarnya dalam diam, karyawan filem Indonesia terus melahirkan karya-karya agung bertaraf dunia. Akhir sekali ditandai dengan kelahiran filem remaja Ada Apa Dengan Cinta? (A2DC).

A2DC filem genre pop yang bukan murahan. Tetapi kenapa sambutan di Indonesia begitu hebat? Inilah hasil daripada usaha bertahun-tahun membina khalayak yang boleh menghayati karya yang baik.

Apa pula tanggungjawab penerbit untuk meneruskan penerbitan filem-filem yang tidak popular ini? Di Malaysia sebahagian besar penerbit hanya mempunyai kecenderungan berniaga tanpa menyuntik falsafah kenapa mereka menerbitkan filem.

Memang benar filem yang menelan belanja besar adalah satu perniagaan. Tetapi konsep berniaga dalam perfileman jauh berbeza daripada berniaga sayur atau bawang di pasar. Kehendak pasaran bukan ukuran kejayaan. Barangkali hanya berjaya membuat kutipan besar tetapi tidak berjaya mempersembahkan karya yang baik.

Penerbit yang jenis inilah yang menyumbang kepada ketandusan filem-filem tidak popular tadi. Kecuali seorang penerbit yang memahami falsafah menerbitkan filem dan mereka mampu mengimbangi antara tuntutan perniagaan dan karya seni.

Apabila Erra Fazira dan Yusri (KRU) menjadi rebutan untuk diambil berlakon sebagai watak utama, maka itulah falsafah penerbitan filem Malaysia. Tanyalah kepada penerbit kenapa mereka tidak jemu-jemu menggandingkan Erra dan Yusri?

Adakah sudah tidak ada pelakon lain yang sedikit lebih baik daripada dua pelakon ini atau sememangnya ada tetapi penonton suka dengan dua pelakon ini? Ini sekadar petanda kecil bagaimana dalam dunia perfileman tempatan, usaha untuk membangunkan khalayak supaya menghayati sebuah karya hampir tidak ada. Yang ada usaha menghayati keuntungan kepada sebelah pihak.

Memetik kata-kata Mira Lesmana yang menerbitkan A2DC, ``Menerbit filem adalah memotretkan wajah bangsa.'' Adakah yang dilakukan oleh sebahagian besar penerbit tempatan menuju ke arah itu?

--- Petikan Artikel dari Utusan Malaysia ---

Sunday, March 21, 2010

Aku Nak Jadi Pejuang!


"Kalau kau nk ikut aku ko kne ade jiwa pejuang.."Bro Gagah.

Begitulah kata-kata orang yang mempunyai banyak pemerhatian dan pengalaman dalam pembikinan.Semua kata-katanya amat bermanfaat.PEJUANG??Pejuang Filem,aku nak memperjuangkan filem untuk negara ni.Setakat ni aku dh banyak mendengar permasalahan dan sebab munasabab kenapa filem di negara ni boleh dikatakan HANCO!! Semua berpunca daripada orang atas yang ada kuasa dan kononnya betul.Bagi aku,bagaimana filem kita di negara ini itulah corak kehidupan Malaysia.Selain itu masalah tempat melahirkan para anak filem,bagaimanakah cara didikan yang diberi???Kita sibuk mencari punca masalah tapi tidak menyelesaikannya.Aku masih perlu banyak belajar,sampai masa nanti aku akan kembali dengan KEMENANGAN.Insyaallah.

"Without some goals and some efforts to reach it, no man can live."

John Dewey